Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kg. Pondok Chegar, Pendang merupakan projek kerajaan dengan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Projek ini dilaksanakan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) dengan memberi fokus kepada pemberian perkhidmatan ICT kepada komuniti tempatan di kawasan luar bandar.
Warga komuniti kini boleh menjalankan pelbagai urusan dengan lebih mudah, menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit. Hanya perlu mengunjungi NADI dan gunakanlah kemudahan jalur lebar yang telah disediakan.
Objektif penubuhan NADI untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar selaras dengan Pelan Jalur Lebar kebangsaandi mana bagi merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar selaras dengan matlamat kerajaan. Selain itu, kami juga memberi kemudahan capaian jalur lebar kepada komuniti tempatan, memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan mengenai teknologi komputer dan internet. Di samping itu juga NADI berperanan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat melalui kemudahan yang disediakan dan aktiviti yang dijalankan di NADI.
NADI menawarkan latihan ICT (Information and Communications Technology) secara PERCUMA kepada semua yang berdaftar sebagai Ahli NADI. Antara latihan ICT yang disediakan seperti kelas Pengenalan Asas Komputer, Asas Internet, Aplikasi Elektronik (E-Kerajaan, E-Pembelajaran, E-Dagang), Desktop Publishing (Microsoft Office), Kelas Keusahawanan, Klik Dengan Bijak dan lain-lain. Selain itu, NADI juga menyediakan perkhidmatan jalur lebar, printing, scanning, fotostat, laminate, binding dan zon internet tanpa wayar (wifi zone) serta menyediakan pinjaman netbook (komputer riba) untuk komuniti.
Antara kemudahan-kemudahan lain yang disediakan adalah seperti dapat membayar bil-bil semasa, memperbaharui insurans dan cukai jalan, melakukan urusan jual beli secara atas talian, mendapatkan pelbagai maklumat am, mengiklankan produk jualan dan perkhidmatan secara atas talian dan dapat menggunakan sistem penyampaian kerajaan untuk membuat aduan atau cadangan serta menawarkan kelas tuisyen kepada pelajar yang memerlukan.
Hanya dengan YURAN KEAHLIAN sebanyak RM 5 sahaja untuk seumur hidup, anda layak menikmati dan menggunakan perkhidmatan yang tertera seperti diatas.